Liga Super Malaysia Berita

Penyokong terkejut Kedah berhutang dengan pemain

Kelab Penyokong Bolasepak Kedah melahirkan rasa terkejut apabila pasukan kesayangan mereka mempunyai masalah tunggakan gaji sama seperti Kelantan dan Melaka United.

Apa yang mengejutkan, perkara itu didedahkan sendiri oleh pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers.

Jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) yang mewakili 23 kelab penyokong Kedah, Mohd Safarizal Mohd Sobri kesal dengan pendedahan dan mahu pihak pengurusan Kedah menyelesaikan hutang pemain dengan segera.

“Ini memberi kejutan kepada kami sebagai penyokong setia Kedah, agak mengejutkan juga kerana pihak luar lebih cepat mengetahui keadaan semasa dalam pasukan Kedah,” katanya kepada BH Sukan.

“Kami amat berharap perkara ini dipandang serius KFA dalam menjaga imej serta reputasi pasukan yang pernah membawa banyak kejayaan dalam Liga Malaysia.”

Safarizal juga berharap pihak pengurusan Kedah memberitahu keadaan sebenar kepada peminat bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang timbul pada masa akan datang.

“Pada masa yang sama kami juga mahukan kepastian terhadap perkara ini kerana sebagai penyokong kami juga mahu tahu dari sumber mana perkara ini diperoleh bagi memastikan perkara ini tepat.

“Hebahan secara terbuka ini boleh mengundang pelbagai reaksi yang mungkin mengeruhkan keadaan berbanding sebaliknya dan kami berharap perkara tidak memberi kesan negatif dalam usaha untuk menyelesaikan sesuatu masalah.”