UEFA Champions League Berita

Cristiano Ronaldo jaringkan gol saat akhir, selamatkan Man United daripada kekalahan

Manchester United masih mampu melakukan magik di saat-saat akhir perlawanan.

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kemenangan dalam minit akhir perlawanan sekaligus United bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Villarreal dalam saingan Kumpulan F Liga Juara-Juara Eropah di Old Trafford awal pagi tadi.

United pada mulanya bergelut pada separuh masa pertama malah dikejutkan dengan gol Villarreal oleh Paco Alcacer pada minit ke-53 yang merembat bola masuk melepasi celah kangkang David De Gea.

Namun, United menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian dengan sepakan percuma Bruno Fernandes yang melambung tinggi jauh ke arah Alex Telles yang menyudahkan bola itu di luar kotak penalti dengan penuh bergaya.

Kemudian, dalam masa tambahan, Fred membuat hantaran bola dari kiri ke arah Ronaldo yang menanduk bola kepada Jesse Lingard, namun Lingard yang dikawal oleh dua pertahanan Villareal memberikan bola semula kepada Ronaldo yang menyudahkan bola dari sudut sukar namun berjaya melepasi penjaga gol Villarreal, Geronimo Rulli.

Jaringan itu menggegarkan Old Trafford, dengan Ronaldo turut membuka bajunya dan meraikan bersama peminat Man United, sambil bergema nyanyian “Viva Ronaldo”.

Kemenangan itu sangat penting bagi Ole Gunnar Solskjaer, setelah mengalami kekalahan kepada Young Boys, West Ham dan terbaru Aston Villa minggu lalu.

“Dia telah melakukannya berkali-kali,” kata Solskjaer selepas perlawanan.

“Lihat ketika dia beraksi menentang Ireland sebulan yang lalu, dia gagal jaringkan penalti, jarang menyentuh bola, dan menjaringkan dua tandukan hebat pada minit terakhir perlawanan.

“Itulah yang dilakukannya sepanjang kariernya. Dia terus mencari peluang dalam perlawanan. Saya telah memantaunya sepanjang hari, cara dia mempersiapkan diri dan ketika dia mendapat satu peluang, itu adalah gol.

“Beliau mempunyai beberapa peluang tetapi tanda sebenar beliau penyudah yang hebat adalah beliau tetap tenang ketika peluang itu tiba.”

Selain Ronaldo, Solskjaer juga gembira dengan prestasi David De Gea.

“Syukurlah kami mempunyai penjaga gol terbaik di dunia,” kata Solskjaer. “David hebat.

“David benar-benar kembali dengan penuh tekad dan menunjukkan kadar kerja yang saya suka. Sekali lagi dia menunjukkan prestasi cemerlang. Dia menyelamatkan kami malam ini. Kita harus bersikap realistik dan mengatakannya.”

Itu adalah gol ke-12 Ronaldo dalam Liga Juara-Juara yang dijaringkan pada minit ke-90, lebih banyak berbanding mana-mana pemain dalam sejarah.