UEFA Champions League Berita

UCL: Liverpool menang besar, Curtis Jones menyinar

Mohamed Salah menjaringkan dua gol ketika Liverpool melakar kemenangan besar 5-1 ke atas FC Porto dalam saingan Kumpulan B Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Roberto Firmino yang masuk sebagai pemain gantian juga menjaringkan dua gol dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan.

Malah, pemain muda berusia 20 tahun, Curtis Jones menghasilkan dua assist, satu untuk Salah dan satu untuk Firmino.

“Keputusan ini bukanlah bermakna kerja kita sudah selesai kerana kami masih mempunyai empat perlawanan untuk dimainkan,” kata kapten Liverpool, Jordan Henderson yang membuat penampilan ke-400 untuk kelabnya.

“Kami beraksi dengan bagus dalam dua perlawanan, mengikut taktik dengan baik dan mendapat keputusan yang kami layak.

“Ini permulaan yang baik tetapi masih belum selesai.”

Ia adalah malam yang menyedihkan bagi Porto yang kini bolos 14 gol dalam tiga perlawanan terakhir menentang Liverpool, dengan penjaga golnya Diogo Costa menghasilkan prestasi yang mengecewakan.

Porto kehilangan kapten, Pepe yang cedera ketika sesi memanaskan badan dan pasukan tuan rumah juga kehilangan pemain tengah Otavio yang hanya bertahan 13 minit sebelum mengalami kecederaan hamstring.

Liverpool memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila sepakan Curtis Jones gagal diselamatkan dengan baik oleh Costa yang terlepas bola dengan Salah pantas mengambil kesempatan itu dengan menjaringkan gol pada minit ke-17.

Mereka menggandakan kedudukan sebelum separuh masa pertama berakhir menerusi Sadio Mane yang mudah menampan masuk gol dari jarak dekat hasil hantaran dari James Milner di sudut sebelah kanan.

Salah menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-60 sebelum Porto merapatkan jurang menerusi tandukan Mehdi Taremi yang berjaya melepasi Alisson.

Bagaimanapun, penjaga gol Porto, Diogo Costa membuat kesilapan besar apabila meluru ke arah bola yang mudah dirampas oleh Firmino sebelum beliau menyepak masuk bola ke arah pintu gol pada minit ke-77.

Firmino melengkapkan kemenangan Liverpool pada minit ke-81 setelah hasil semakan VAR mendapati beliau tidak berada dalam kedudukan ofsaid.

Setelah terikat dalam kumpulan maut, Liverpool pastinya sangat berpuas hati dengan permulaan mereka, setelah menewaskan Milan dalam perlawanan pembukaan di Anfield dua minggu yang lalu.

Liverpool kini mengumpul enam mata daripada dua perlawanan, Atletico berada di tangga kedua dengan empat mata, Porto satu mata dan Milan masih tidak mempunyai sebarang mata.