Pengarah Sukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Martin Prest menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah membuat tawaran kepada Radamel Falcao seperti mana yang dilaporkan oleh media.
Penyerang berusia 35 tahun dari Colombia itu dikaitkan dengan perpindahan ke JDT, setelah kelabnya Galatasaray meminta Falcao untuk mencari kelab baharu ekoran masalah kewangan.
“Berita tersebut adalah khabar angin semata-mata,” kata Prest menerusi Johor Southern Tigers.
“JDT tidak berada pada kedudukan kewangan yang kukuh untuk menandatangani pemain ‘marquee’ antarabangsa disebabkan pandemik Covid-19.
“Kami percaya bahawa kedudukan kewangan kelab akan berada pada tahap lebih baik dalam masa satu hingga dua tahun untuk mendapatkan pemain-pemain sedemikian.
“Kami perlu lebih berhemah dalam perbelanjaan ketika ini dan memberikan keutamaan kepada infrastruktur yang boleh membawa kebaikan kepada pembangunan.”