Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] Terengganu sekali lagi tercicir mata, Aung Kaung Mann jaringkan gol tunggal Pahang

Terengganu sekali lagi terlepas peluang untuk mengutip tiga mata penuh apabila sekadar seri 0-0 ketika berdepan Sabah di gelanggang sendiri di Kuala Terengganu malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan Terengganu kekal di tangga kedua dengan 31 mata selepas 16 perlawanan, ketinggalan jauh lapan mata dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mencatatkan dua kemenangan berturut-turut sejak liga bersambung semula.

Terengganu mendapat peluang seawal minit ke-4 apabila percubaan rembatan kencang Faisal Halim tepat ke arah gol namun dinafikan oleh penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim. Faiz Nasir turut berpeluang menjaringkan gol namun lencongan bolanya tersasar ke tepi padang.

Pemain import Terengganu, Dechi Marcell N’Guessan mendapat peluang keemasan apabila rembatannya sudah pun menewaskan Rozi tetapi dinafikan pula oleh palang gol.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan masih buntu meskipun Terengganu membawa masuk Rahmat Makasuf, Hakimi Abdullah dan Nik Akif manakala Sabah membawa masuk Amri Yahyah dan Saddil Ramdani.

Dua minit sebelum perlawanan berakhir, Terengganu menyangkakan mereka sudah meraih kemenangan apabila sepakan percuma David Da Silva melayang menembusi ke gawang gol Sabah namun pengadil membatalkan gol tersebut apabila Rahmat Makasuf berada dalam kedudukan ofsaid.

Sebanyak lima minit masa tambahan diberikan, namun perlawanan berkesudahan tanpa jaringan.

Di Kuantan, Pahang meraih kemenangan ke-4 apabila menewaskan PJ City 1-0 di Stadium Darul Makmur.

Aung Kaung Mann menjaringkan satu-satunya gol pada minit ke-15, sekali gus melonjakkan Pahang ke tangga ke-9 Liga Super dengan mengumpul 17 mata selepas 16 perlawanan.

 

PJ City pula berada di tangga ke-8 dengan mengumpul 18 mata, namun masih ada kelebihan satu perlawanan.