Liga Super Malaysia Berita

Leandro, Careca tamatkan kontrak dengan Perak

Ketua jurulatih Perak, Chong Yee Fatt mengesahkan bahawa dua importnya Leandro Dos Santos dan Careca telah meninggalkan pasukannya musim ini.

Katanya, pengesahan itu dibuat melalui surat penamatan kontrak yang dihantar kepada pihak pengurusan kelab dua hari lepas.

Meskipun agak tiba-tiba, Yee Fatt sudah menjangkakan status kedua-dua pemain itu selepas kedua-dua pemain enggan beraksi dalam perlawanan menentang Terengganu dengan alasan mengalami kecederaan.

“Dalam tiga atau empat hari sebelum ini memang saya ada dengar desas-desus mereka nak keluar daripada pasukan,” katanya kepada Bernama.

“Tapi saya tidak ambil kisah sebab mereka masih menjalani latihan dengan pemain lain.

“Tiba-tiba bila kita hendak ke Terengganu, mereka kata tidak mahu main sebab cedera dan lepas kami balik, pihak pengurusan beritahu saya kedua-dua pemain sudah hantar surat penamatan kontrak.”

Sebelum ini, desas-desus kedua-dua pemain tersebut meninggalkan pasukan hangat diperkatakan di beberapa laman sosial rasmi penyokong The Bos Gaurus selepas mereka tidak beraksi ketika Perak dibelasah Terengganu 0-5 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak minggu lalu.

Leandro, 34 dan Careca, 25 merupakan pemain import yang berkhidmat lama bersama Perak, dengan Leandro menyertai pasukan itu pada musim 2017 manakala Careca menyertai Perak pada musim 2019.

Leandro banyak membantu Perak mengecapi kejayaan, terutamanya menjadi juara Piala Malaysia 2018 dan naib juara Liga Super 2018.

Selepas kekalahan kepada Terengganu dan seri menentang KL City baru-baru ini, Perak berada di zon penyingkiran dengan 13 mata selepas 15 perlawanan.