Liga Super Malaysia Berita

JDT terlalu unggul buat Melaka, Baddrol Bakhtiar wira Kedah

Johor Darul Ta’zim mencatatkan kemenangan bergaya apabila menewaskan Melaka United 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Lebih manis, kemenangan itu diraih di hadapan peminat JDT yang pertama kali hadir ke stadium musim ini selepas dibenarkan oleh kerajaan.

JDT mendahului seawal minit ke-3 menerusi tandukan Adam Nor Azlin hasil tendangan penjuru.

Pasukan Harimau Selatan menggandakan apabila Khairul Fahmi Che Mat tersalah menghantar bola terus ke arah Leandro Velazquez yang melorongkan bola kepada Bergson, yang mudah menyepak masuk ke gawang gol pada minit ke-7.

JDT melengkapkan kemenangan hasil larian pantas Mohamadou Sumareh menembusi pertahanan Melaka sebelum beliau menghantar bola ke sebelah sayap kiri tepat menemui Bergson yang menendang bola terus meluru ke arah atas gawang gol, menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-81.

JDT kekal di tangga pendahulu Liga Super dengan 14 mata manakala Melaka berada di tangga ke-9 dengan hanya 4 mata.

Kedah juga meraih tiga mata penuh apabila berjaya menewaskan Pahang 3-1 di Stadium Darul Aman.

Pahang tinggal 10 orang pemain apabila Herold Goulon dilayangkan kad merah akibat menghalang Rabih Ataya daripada menjaringkan gol pada minit ke-16.

Namun Kedah hanya meraih gol pendahuluan 20 minit kemudian apabila kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol dari luar kotak penalti.

Bagaimanapun Pahang berjaya menyamakan kedudukan apabila Azam Azih berjaya mencipta serangan balas dengan melorongkan bola ke arah Izzat Che Awang yang menjaringkan gol penyamaan menewaskan Shahril Shaari pada minit ke-41.

Kedah kembali di depan apabila Faisal Rosli mengasari Kpah Sherman yang menjaringkan gol penalti, walaupun perlawanan baru sahaja bermula di separuh masa kedua.

Baddrol sekali lagi menjaringkan gol menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Faizat Ghazli pada minit ke-70.

Pahang memperoleh peluang untuk merapatkan jurang apabila dihadiahkan sepakan penalti kerana mengasari Lee Tuck dalam kotak penalti, namun sepakannya ditepis oleh Shahril pada minit ke-89.

Kedah kini menduduki tangga ke-2 Liga Super dengan 13 mata, hanya 1 mata di belakang JDT.

Pahang berada di zon penyingkiran apabila sekadar mencatatkan 4 mata daripada 6 perlawanan.

Terengganu pula gagal meneruskan rentak cemerlang apabila sekadar seri 0-0 ketika berdepan PJ City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pasukan Pantai Timur itu kini menduduki tangga ke-3 dengan 11 mata, manakala PJ City berada di tempat ke-4 dengan 9 mata.