Liga Super Malaysia Berita

JDT jalin kerjasama dengan Aston Martin

Buat pertama kalinya, kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjalin kerjasama dengan jenama terkemuka dunia, Aston Martin Racing Asia.

Kerjasama itu menyaksikan Aston Martin mengeluarkan rekaan edisi terhad bertema JDT untuk rangkaian kereta mereka yang akan dijual oleh kelab.

“Kami berbangga serta gembira dapat mencapai persetujuan dengan Ibu Pejabat jenama tersebut yang berpusat di United Kingdom dan pejabat Asia,” menerusi satu kenyataan kelab.

“Kerjasama dengan syarikat permotoran British ini bukan sahaja memberikan nilai kewangan kepada JDT, tetapi juga membuka peluang kepada JDT, Johor dan Aston Martin Racing bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk tahun-tahun yang akan datang.”

Kerjasama ini juga boleh digambarkan sebagai kerjasama antara juara dalam bidang masing-masing dengan JDT selaku juara Liga Super tujuh kali berturut-turut manakala Aston Martin pula adalah juara perlumbaan Le Mans Endurance 2020.

Aston Martin Racing pula merupakan salah satu jenama antarabangsa yang bekerjasama dengan Harimau Selatan.

Antara jenama terkemuka antarabangsa lain yang menjadi penaja dan rakan strategik termasuk UNICEF, Nike, Hublot, Subway, F&N, SWAG EV dan banyak lagi.