Benjamin Mora mahu JDT mengakhiri saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan kemenangan apabila berdepan Ratchaburi pada aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand malam ini.
Ini selepas JDT mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Ratchaburi dalam perlawanan pusingan pertama.
Namun, Mora mahu JDT tetap berwaspada dengan Ratchaburi.
“Kami teruja akan mengakhiri saingan ACL namun agak terkilan kerana gagal ke pusingan kedua,” katanya kepada Harian Metro.
“Ia pengalaman terbaik buat JDT untuk bersaing di pentas Asia dan ia cukup bernilai buat setiap pemain terutama pemain muda beraksi menentang kelab ternama Jepun, Thailand dan Korea Selatan.
“Menentang Ratchaburi sudah tentu kami mahukan kemenangan tapi perlu waspada dengan pasukan itu yang tampak menunjukkan peningkatan selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Pohang Steelers, Ahad lalu.
“Saya melihat Ratchaburi beraksi dan apa yang saya nampak mereka juga enggan tewas pada aksi terakhir menentang JDT malah mereka tampil dengan corak permainan berbeza ketika menentang kelab dari Korea Selatan.”
Mora bagaimanapun berkata, beliau tidak akan melakukan perubahan ketara dalam kesebelasan utama JDT.
“Kami akan bermain seperti biasa tiada apa yang istimewa.
“Pemain tahu apa yang mereka perlu lakukan apabila berada di padang dan mereka perlu fokus sepanjang perlawanan untuk elak daripada hilang konsentrasi kerana pasukan lawan bijak hidu peluang untuk memadam impian tiga mata.”