England mara ke separuh akhir Euro untuk pertama kalinya dalam 25 tahun selepas kemenangan 4-0 ke atas Ukraine di Rom malam tadi.
Harry Kane menjadi wira England apabila menjaringkan dua gol dalam perlawanan.
Beliau menjaringkan gol pendahuluan hasil umpanan Raheem Sterling pada minit keempat.
Harry Maguire menjaringkan gol kedua untuk England hasil sepakan percuma Luke Shaw pada minit ke-46 separuh masa kedua.
Empat minit kemudian, Kane menanduk masuk gol ketiga England hasil hantaran Shaw.
Kane hampir menjaringkan hatrik namun rembatan jarak jauhnya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Ukraine, Heorhiy Bushchan.
England melengkapkan kemenangan menerusi Jordan Henderson yang menanduk masuk sepakan penjuru Mason Mount pada minit ke-63.
Tiga tahun lalu, England mara ke separuh akhir Piala Dunia tetapi dikalahkan 2-1 oleh Croatia dan pada tahun 2019 mereka tewas 3-1 kepada Belanda dalam kejohanan Liga Negara-Negara UEFA.
England kali terakhir mara ke final kejohanan besar antarabangsa adalah pada tahun 1966.
“Saya rasa kita berjaya mara ke satu lagi semi final, tiga dalam tiga tahun,” kata Southgate kepada BBC.
“Kami mahu pergi dua langkah lebih jauh. Saya tahu apa yang akan berlaku di negara kami. Gembira melihat semua orang pada malam Sabtu, bir di tangan.
“Mereka harus menikmatinya. Sudah bertahun-tahun lamanya bagi semua orang. Persembahan hebat telah membawa kebahagiaan kepada orang ramai.
“Pemain juga beraksi dengan cemerlang. Bermain begitu baik dalam perlawanan dengan begitu banyak tekanan sangat mengagumkan. Semangat dalam pasukan ini sangat hebat.”
England akan berdepan Denmark pada Khamis ini.
Denmark menewaskan Republik Czech 2-1 namun England mendapat kelebihan apabila perlawanan separuh akhir akan diadakan di Stadium Wembley, London.