Liga Super Malaysia Berita

Pasukan Liga Malaysia dibenarkan berlatih dalam tempoh total lockdown

Pasukan Liga Malaysia telah mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan untuk meneruskan latihan secara Camp-Based Training dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, latihan itu bagaimanapun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat ketika pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari seperti yang diumumkan oleh perdana menteri.

Beliau turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengekalkan kelulusan yang telah diberikan kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia meneruskan latihan ketika ‘total lockdown’ fasa pertama ini.

“MFL selaku pentadbir Liga Malaysia ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan untuk memberikan kebenaran kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia meneruskan latihan secara Camp-Based Training,” katanya dalam kenyataan.

“Saya percaya ia akan memberikan kelegaan buat pasukan-pasukan dalam membuat persiapan sebelum Liga Malaysia kembali bersambung pada bulan Julai disebabkan penglibatan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah dan Terengganu dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC selain penglibatan pemain-pemain yang bersama pasukan kebangsaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).”

Mengulas lanjut, Ghani berkata MFL turut mengambil kira kuarantin selama 14 hari yang perlu dijalankan oleh pasukan yang terlibat apabila kembali ke ibu negara.

“Bukan itu sahaja, ia pasti banyak membantu pasukan khususnya JDT yang turut akan mengharungi kejohanan (ACL) bermula 21 Jun 2021 manakala Terengganu dan Kedah pada 22 Jun 2021.”

Bagaimanapun, Ghani berkata lain-lain aktiviti seperti perlawanan persahabatan atau apa-apa aktiviti merentas daerah atau negeri adalah tidak dibenarkan sama sekali ketika ini.

“Demi keselamatan serta kesihatan pegawai dan pemain, hanya latihan pasukan berpusat sahaja dibenarkan bagi fasa pertama PKP ini.

“Sehubungan itu, MFL menggesa semua pasukan memberi kerjasama yang baik agar mematuhi SOP yang dikuatkuasakan serta memberi kerjasama kepada Agensi-agensi Kerajaan dan Komisioner Perlawanan yang dilantik MFL yang ditugaskan untuk memantau pelaksanaan SOP di peringkat pasukan.

“Sebarang kecuaian atau pelanggaran SOP akan mengakibatkan pasukan boleh akan dikenakan tindakan oleh MFL atau Kerajaan Malaysia di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).”

Tambah Ghani, pemakluman terkini berhubung PKP akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada semua pasukan selaras dengan arahan kerajaan.

Setakat hari ini, empat pasukan Liga Super iaitu Kedah, Terengganu, UiTM FC dan PDRM serta Terengganu II daripada Liga Premier sudah mendapat kelulusan MFL untuk mengadakan latihan Camp-Based Training.