Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe buntu pilih kesebelasan utama?

Ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe mengakui berdepan masalah dalam memilih kesebelasan terbaik untuk diturunkan bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.

Cheng Hoe berkata, pemain bukan sahaja sudah lama tidak mempunyai aksi kompetitif antarabangsa, tahap kecergasan dan momentum persembahan dimiliki setiap anak buahnya turut menjadi kebimbangan dalam menentukan barisan terbaik.

“Kita masih mencari kesebelasan terbaik untuk perlawanan akan datang,” katanya kepada Bernama.

“Namun sudah semestinya dengan beberapa kombinasi malam ini saya rasa sedikit sebanyak dapat gambaran mengenai kesebelasan utama menentang UAE nanti.”

Selepas beberapa siri latihan dijalankan, Cheng Hoe berpuas hati komitmen diberikan para pemain.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kesemua 25 pemain akan diberi peluang untuk beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain bagi mendapatkan rentak permainan dan membantunya merencana kombinasi terbaik bagi menghadapi cabaran sebenar dalam saingan kelayakan.

Cheng Hoe juga yakin muka baharu seperti Liridon Krasniqi, Luqman Hakim Shamsudin, Guilherme De Paula dan Arif Aiman Mohd Hanapi dapat menyesuaikan diri dalam perlawanan peringkat antarabangsa.

Mengulas mengenai pertembungan dengan Kuwait malam ini, beliau menuntut pemain untuk menggunakan kelebihan dari segi kepantasan selain teknik dan kemahiran yang ada dalam usaha memerangkap pasukan Arab itu.

“Kita tahu pasukan dari Asia Barat mempunyai kekuatan dari segi fizikal.

“Diharap pemain dapat memberi cabaran kepada skuad lawan selain mengingatkan mereka agar tidak terlalu ghairah ketika beraksi dalam dua perlawanan persahabatan bagi mengelakkan sebarang kecederaan.”