Liga Super Malaysia Berita

JDT bakal bina kolam renang di sebelah padang Stadium Sultan Ibrahim

Boleh dikatakan tidak ada mana-mana kelab bola sepak hatta yang paling gergasi sekali pun mempunyai sebuah kolam renang yang dibina bersebelahan dengan padang dalam stadium.

Tetapi itulah yang ingin dilakukan oleh pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim.

Dalam catatan terbaru Johor Southern Tigers, Stadium Sultan Ibrahim akan dinaiktaraf dengan menyediakan kolam renang dan ‘lounge’ tidak lama lagi.

Ia khas untuk peminat JDT yang merupakan ahli rasmi kelab tersebut.

“Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan pihak pengurusan JDT sentiasa mencari pelbagai cara untuk memastikan pengalaman terbaik dinikmati di Stadium Sultan Ibrahim.

“Maklumat lanjut mengenai keahlian kelab akan diberitahu dalam jangka masa terdekat.”

Ia pastinya satu perkembangan yang menarik untuk melihat kemudahan seperti itu di sebuah stadium tercanggih di negara ini.

Stadium JDT ini nampaknya bukan lagi sekadar sebuah stadium bola sepak, tetapi ia cukup untuk menunjukkan bahawa JDT prihatin terhadap keselesaan peminat.