Liga Super Malaysia Berita

Pasukan Liga Malaysia dibenarkan berlatih, adakan perlawanan persahabatan tetapi dengan syarat

Malaysian Football League (MFL) membenarkan pasukan-pasukan Liga Malaysia menjalani sesi latihan secara Camp Based Training sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan itu dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di negara ini.

Katanya, Home Based Training tidak lagi digunapakai untuk pasukan yang berada dalam PKP di mana mereka dikehendaki mematuhi Camp Based Training sahaja selepas MFL mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan KKM semalam.

“MFL dengan kerjasama beberapa agensi pihak kerajaan memahami keadaan semasa COVID-19 dan bersetuju untuk memperketatkan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang penganjuran Liga Malaysia musim 2021 ketika pandemik COVID-19 semakin serius menular dalam negara buat masa ini selepas mengadakan mesyuarat dalam talian bersama KKM, KBS dan MSN semalam.

“Justeru, pasukan yang berada di dalam kawasan PKP hanya dibenarkan menjalani sesi latihan secara Camp Based Training sahaja buat masa ini dan mereka tidak dibenarkan menggunapakai kaedah Home Based Training.

“SOP iaitu pegawai dan pemain pasukan hendaklah menjalani Ujian Calitan PCR sebelum mengadakan latihan diperketatkan lagi di mana pasukan dikehendaki mengemukakan pelan latihan, keselamatan dan ujian PCR selain mereka turut dikehendaki menamakan venue latihan dan penginapan kepada MFL.

“Camp Based Training boleh bermula pada bila-bila masa sebaik pasukan telah memohon kepada MFL di mana MFL akan memaklumkan permohonan pasukan kepada KBS,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Ghani mengesahkan pasukan dari Sabah dibenarkan berlatih di rumah, manakala pasukan dari Sarawak perlu berlatih menerusi kem latihan.

“Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa di Sabah dan Sabah FC dibenarkan menjalani sesi latihan secara Home Based Training.

“Bagaimanapun, bagi Sarawak United FC dan Kuching City FC, mereka dituntut menjalani sesi latihan secara Camp Based Training selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak tidak membenarkan sebarang aktiviti sukan diadakan biarpun status mereka hanya PKPB.”

Katanya lagi, Kedah perlu keluar dari kawasan mereka memandangkan Kota Setar masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan perlu menjalani sesi latihan secara Camp Based Training di kawasan PKP atau PKPB.

Ghani juga mengesahkan pasukan Liga Super dan Liga Premier yang telah berada di dalam gelembung Camp Base Training dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan tanpa penonton selepas mendapatkan surat kebenaran daripada polis negeri masing-masing.

“SOP ketat ini akan dipantau oleh MFL dari semasa ke semasa dan akan dimaklumkan kepada pasukan-pasukan jika terdapat sebarang perubahan.”