Liga Super Malaysia Berita

CEO Perak: Pemain minta maaf boikot sesi latihan

CEO Perak, Rizal Ali Naizali menganggap tindakan pemain memboikot sesi latihan adalah sekadar perselisihan faham.

Beliau berkata, perkara itu telah diselesaikan dalam perbincangan bersama kesemua pemain dan pemain meminta maaf selain berjanji tidak akan mengulanginya.

“Mereka berjanji untuk bermain dengan sepenuh hati dalam perlawanan dengan Pahang… ketika mereka ambil tindakan itu, gaji memang belum masuk,” katanya kepada Bernama.

Rizal memberi jaminan bahawa pihak pengurusan akan berusaha menyelesaikan pembayaran bagi bulan April iaitu sebelum Aidilfitri.

“Kita telah minta tempoh sedikit masa dan telah nyatakan kepada pemain bila akan selesaikan, kita akan usahakan sebelum raya.”

Dalam pada itu, Rizal berkata kapten pasukan Shahrul Mohd Saad dan penyerang Guilherme De Paula dibenarkan menyertai Johor Darul Ta’zim FC (JDT).

“Shahrul sudah tandatangan kontrak penamatan hari ini manakala De Paula akan berbuat demikian sedikit hari lagi dan mereka dibebaskan secara persetujuan bersama ke JDT.

“Setakat ini, dua saja pemain (berpindah pasukan), dalam perbincangan tadi memang tiada siapa (yang akan berpindah) sebab kita (pihak pengurusan) sudah bagi pendapat dan pemain sudah bagi hasrat mereka dan kita telah ada kata putus.”