Liga Super Malaysia Berita

Stuart: Pergaduhan JDT dan Kedah bukan isu besar

Insiden tegang dalam perlawanan bola sepak yang sengit adalah normal disebabkan berlakunya ketegangan emosi, justeru ia tidak perlu diperbesar-besarkan, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam.

Mengulas mengenai reaksi terhadap perlawanan antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Kedah pada Selasa lepas, Stuart berkata bola sepak ialah permainan fizikal yang sering menimbulkan keagresifan dan konfrontasi di padang.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa FAM sebagai badan yang mentadbir sukan bola sepak negara, akan mengambil tindakan dan keputusan tatatertib apabila diperlukan.

“Saya belum lihat sendiri laporan daripada (komisioner) perlawanan,” kata Stuart.

“Tetapi saya tidak melihat sebarang kejadian besar. Mungkin emosi menjadi tegang dalam perlawanan seperti ini apabila dua pasukan teratas bertanding dan melibatkan penalti pada saat akhir.

“Ini adalah bukti semangat, emosi kedua-dua pasukan yang bertanding untuk memburu gelaran liga, ia berlaku dalam sukan bola sepak di seluruh dunia. Saya percaya dalam sidang akhbar (pada masa itu), ketua jurulatih (Aidil Sharin Sahak) menjawab dengan profesional. Saya rasa ia bukan perkara besar.”