Liga Super Malaysia Berita

Nafuzi: Liga Super musim ini cukup sengit

Jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain mengakui Liga Super Malaysia menjadi lebih sengit dan menarik musim ini terutamanya selepas pasukannya berjaya mengalahkan JDT minggu lalu.

Malah, beliau gembira dengan prestasi pasukannya yang mampu menyaingi tiga pasukan teratas liga apabila berjaya menewaskan JDT, Kedah dan Selangor.

“Kemenangan ke atas JDT mempengaruhi kami untuk kekal di atas,” katanya kepada Astro Arena.

“Saingan liga semakin sengit dan suasananya pun semakin rancak.

“Bagus melihat lima pasukan teratas saling bersaing sengit.

“Menuju perlawanan terakhir pusingan pertama ini, pasukan utama akan bertembung sesama sendiri.”

Namun, beliau tidak mengambil mudah terhadap perlawanan menentang Pulau Pinang esok memandangkan pasukan dari Pantai Barat itu merupakan satu-satunya pasukan yang mencatatkan lima perlawanan tanpa kalah setakat ini.

Terengganu perlu menewaskan Pulau Pinang jika mahu terus memberi tekanan kepada JDT selaku pendahulu liga, dengan hanya dua mata memisahkan kedua-dua pasukan tersebut.