Liga Super Malaysia Berita

Nafuzi: Syukur, bukan senang nak tewaskan JDT

Jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain enggan terlalu mendabik dada dengan kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super 2021 di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, sebaliknya menegaskan mereka hanya bernasib baik kerana ketiadaan dua tonggak penting dalam pasukan lawan.

Beliau berkata berdepan dengan skuad Harimau Selatan bukan mudah kerana mereka mempunyai prestasi cemerlang di gelanggang sendiri.

“Pada awalnya kita bimbang kerana David Da Silva belum sembuh daripada kecederaan dan cergas 100 peratus, namun ketiadaan pemain pertahanan JDT, Mauricio Nascimento dan S. Kunanlan memberi sedikit kelebihan kepada TFC dalam merencanakan gerakan serangan.

“Saya faham bukan senang untuk menang pada perlawanan ini tetapi syukur kita telah mendapat tiga mata penuh untuk mengekalkan kedudukan di tempat kedua liga,” katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan berkenaan, pemain tengah berusia 21 tahun Mohamad Hakimi Abdullah muncul sebagai wira skuad Penyu menjaringkan gol tunggal pada minit ke-57 bagi memastikan pasukannya pulang dengan tiga mata untuk kekal menghuni tangga kedua.