Malaysia Berita

Skuad Harimau Malaya terima suntikan pertama vaksin COVID-19

Barisan pemain, jurulatih dan pegawai skuad Harimau Malaya serta pegawai FAM telah menerima dos pertama vaksin Pfizer-BionTech di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Seroja, Presint Diplomatik, Putrajaya, hari ini.

Ini selepas permohonan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejajar dengan pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican minggu lalu.

Ia diketuai oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi selaku pengurus pasukan; ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe serta kapten pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak.

Skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Dubai, UAE pada 19 Mei ini bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan, seterusnya tiga perlawanan terakhir Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang UAE pada 3 Jun, Vietnam pada 11 Jun dan Thailand pada 15 Jun 2021.

Turut menerima suntikan pemegang jawatan, kakitangan teknikal dan pengurusan serta khidmat sokongan yang dijadual terbabit dalam beberapa siri kejohanan, kursus dan tugasan di dalam dan di luar negara.