Liga Super Malaysia Berita

Natxo Insa akhirnya digantung perlawanan, denda RM10,000

Selepas hampir dua minggu menanti hukuman, Natxo Insa akhirnya digantung perlawanan dan dikenakan denda sebanyak RM10,000 kerana mengasari pengadil.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Datuk Baljit Singh Sidhu berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kali kedua bagi penggal 2021-2025 hari ini.

Beliau berkata, Natxo didapati telah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan pada perlawanan Liga Super 2021, Perak FC lwn Johor Darul Ta’zim di Stadium Perak, Ipoh pada 21 Mac lalu.

Justeru, beliau dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000 akibat daripada tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap pengadil, Noor Azriel Baharudin apabila menyentuh dada pengadil berkenaan menggunakan kedua-dua tangannya selepas perlawanan menentang Perak FC itu.

Bagaimanapun, Natxo hanya dikenakan satu penggantungan automatik kerana jawatankuasa telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod ini di mana pemain ini dikenakan penggantungan satu perlawanan terlebih dahulu dan baki satu lagi perlawanan adalah ditangguh tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini dalam tempoh lapan bulan dari tarikh surat diterima.

Oleh sebab itu, Natxo dikenakan penggantungan untuk perlawanan antara Johor Darul Ta’zim dan Melaka United esok.

“Baki satu lagi perlawanan adalah ditangguhkan terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini. Jika pemain ini didapati bersalah mengulangi kesalahan yang sama, baki hukuman penggantungan satu perlawanan ini akan berkuatkuasa dengan serta-merta.

“Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.”

Natxo juga hanya boleh membuat rayuan untuk hukuman denda, bukan penggantungan.