Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim mengumumkan bahawa hanya pemegang pas bermusim sahaja dibenarkan menghadiri perlawanan JDT menentang Melaka United pada hari Jumaat, 2 April 2021.
Menurut Johor Southern Tigers, ini berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan kemasukan 2,000 penyokong sahaja.
“Kesemua pemegang pas bermusim platinum dibenarkan untuk masuk dan hanya perlu hadir di Stadium Sultan Ibrahim pada hari perlawanan dengan membawa pas bermusim masing-masing.
“Bagaimanapun, jumlah yang dibenarkan untuk pemegang pas bermusim Gold adalah terhad ekoran syarat yang ditetapkan oleh MKN dan MFL.”
Katanya lagi, pemegang pas bermusim Gold perlu mengambil QR Code (pas masuk) di kaunter pandu lalu di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos pada hari Khamis (12 tengah hari hingga 8 malam) atau hari Jumaat (10 pagi hingga 1 petang) tertakluk kepada jumlah sedia ada.
Kad pas bermusim pula perlu ditunjukkan dan pengambilan oleh pihak ketiga dibenarkan jika kad pas bermusim ditunjukkan. Satu pas bermusim layak untuk mendapat satu QR Code sahaja.
Pemegang pas bermusim Gold perlu kekal dalam kenderaan ketika pandu lalu kerana tiada kaunter fizikal disediakan.
Hanya mereka yang mempunyai QR Code atau kad pas bermusim Platinum sahaja dibenarkan untuk berada di kawasan Stadium Sultan Ibrahim pada hari perlawanan.