Keputusan pengadil terus dipersoal, tiba-tiba Liga Malaysia perlukan VAR?
Kenyataan Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung perlunya video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia menimbulkan persoalan sama ada MFL dan FAM sudah bersedia untuk menyediakan teknologi tersebut.
Sedangkan, soal keperluan VAR sudah dipersoalkan oleh sesetengah pihak sejak beberapa tahun lalu, tetapi ia tidak pernah diambil serius, sama ada menggunakan alasan ketiadaan dana ataupun akan menggunakan perkataan ‘mahal’.
Anehnya, musim lepas isu VAR tidak pernah dibangkitkan mana-mana pihak tetapi ia kembali timbul pada tahun ini, terutamanya selepas prestasi pengadil dipersoal ketika JDT bertemu Perak pada tempoh hari.
“Its time for VAR,” kata TMJ menerusi akaun Instagram miliknya.
“Penalti…sepatutnya 11 penalti…dua penalty first half Burgson dan Arif Aiman ref tak blow. Ini tidak adil..1 point pun jadilah.
“Perak main bagus dan penjaga gol bagus..JDT main bagus second half.. Well Done Perak dan well done JDT.. Next game please bagi tujuh penalty.”
Namun, TMJ mengakui penalti yang dihadiahkan kepada JDT adalah tidak sepatutnya berlaku.
“Saya rasa last minit penalti itu bukan penalti. Tapi separuh masa pertama Burgson dan Arif betul. Apa pun tahniah dan semoga berjaya perlawanan seterusnya.”
Sejujurnya, Liga Malaysia sudah lama memerlukan VAR, tetapi adakah MFL dan FAM benar-benar serius dan bersedia untuk menggunakan teknologi tersebut?
Soal penswastaan kelab dan pemilikan pasukan masih belum selesai, penajaan juga masih bermasalah, tiba-tiba bermimpikan VAR?
Bukankah lebih efisien membantu para pengadil menambah baik prestasi dan melahirkan lebih ramai pengadil berbakat?