Liga Super Malaysia Berita

Melaka United jadi pasukan Liga Super pertama musim 2021 dipotong 3 mata

Badan bebas, First Instance Body (FIB) hari ini mengumumkan bahawa Melaka United telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta-merta bagi saingan Liga Super 2021 di atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab MFL yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

Dalam mesyuarat tersebut, tiga kes telah dibincangkan iaitu membabitkan pasukan Melaka United, Sarawak United dan Kelantan.

Berhubung kes membabitkan Melaka, pasukan tersebut pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari 2021 telah berjaya membuat pembayaran daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut pelan jadual pembayaran.

Namun bagi pembayaran tarikh akhir kedua, Melaka telah didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata.

FIB berharap keputusan itu dijadikan teladan untuk memastikan Melaka mematuhi jadual pembayaran yang ditetapkan pada masa akan datang.

Melaka yang mencatatkan empat keputusan keputusan seri dalam empat perlawanan, kini hanya mempunyai satu mata dan berada di tangga ke-10.

Sementara itu, FIB mengambil maklum usaha dan komitmen Sarawak United FC dan Kelantan FC dalam menjelaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka.

Unit Pelesenan Kelab MFL akan terus memantau dan memastikan kedua-dua pasukan tersebut terus menunjukkan komitmen dalam menangani isu ini sehingga selesainya baki tunggakan berkenaan.