CEO Pahang FC, Datuk Suffian Awang mengesahkan bahawa Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sudah menerima surat rasmi daripada FIFA berhubung arahan bayaran tunggakan gaji terhadap bekas pemain, Mohamadou Sumareh.
Ini selepas FIFA mengarahkan mereka membayar AS$1.2 juta (RM4.9 juta) kepada Sumareh setelah mendapati Pahang gagal membayar gaji mengikut kontrak yang ditetapkan.
Ini terutamanya melibatkan kenaikan gaji sebanyak AS$5,000 (RM20,362) setahun pada musim kedua Sumareh di Pahang.
Suffian berkata, Pahang akan meminta penjelasan terhadap hukuman itu terlebih dahulu sebelum mengemukakan rayuan.
“PBNP juga kemungkinan melantik peguam dari luar negara untuk membantu dalam menyelesaikan kes Sumareh ini,” katanya kepada Berita Harian.
Pahang mempunyai tempoh 45 hari untuk menyelesaikan tunggakan itu. Jika gagal berbuat demikian, pasukan itu akan dikenakan larangan mendaftar pemain pada jendela perpindahan berikutnya serta pemotongan mata dalam saingan liga.