FAM dan MFL akhirnya duduk semeja dengan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman bagi menyelesaikan perbalahan antara tiga pihak itu di media sosial.
Ini selepas Norizam tidak berpuas hati dengan tindakan FAM yang seolah-olah mengugut pasukannya dengan pemotongan tiga mata jika tidak membayar gaji 11 bekas pemainnya dalam tempoh 30 hari.
Ia disusuli dengan pelbagai tuduhan termasuklah bayaran hak penyiaran, elaun pengadil dan bayaran perlawanan secara langsung di MyCujoo.
FAM dan MFL menafikan kenyataan Norizam dan menjelaskan situasi sebenar namun mereka akhirnya membuat keputusan untuk bersemuka bagi menyelesaikan segala isu yang berbangkit.
Norizam tiba di Wisma FAM, Kelana Jaya bersama naib presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Ahmad Muzakkir Hamid untuk bertemu dengan Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.
“Perbincangan ini diharap berjaya menyelesaikan isu membabitkan FAM, MFL dan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai ZamSaham,” kata FAM menerusi laman Facebook rasminya.