Liga Super Malaysia Berita

Terengganu jalin kerjasama rasmi dengan Yakult

Terengganu telah menjalinkan kerjasama rasmi dengan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd dan Terengganu Football Club Sdn Bhd sekali gus menjadi salah satu penaja rasmi pasukan Pantai Timur itu bagi musim 2021.

Kerjasama itu menyaksikan Yakult menaja Terengganu sebanyak RM 380,000 bagi membolehkan beberapa program pembangunan bola sepak akar umbi dijalankan secara berperingkat.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata, pihaknya membuat keputusan untuk menaja Terengganu kerana pasukan itu telah menunjukkan prestasi cemerlang musim lalu hingga layak beraksi pada Piala AFC 2021.

“Ini membuktikan pasukan ini berkualiti dan mempunyai misi besar pada musim ini dan Yakult mahu menjadi sebahagian kecil yang menyumbang kepada kejayaan pasukan ini pada masa akan datang,” katnaya kepada Harian Metro.

Pada masa sama, Hamada juga yakin dengan kemampuan Terengganu di peringkat akar umbi.

“Terengganu mempunyai sistem pembangunan bola sepak akar umbi yang baik. Bermula dari peringkat umur 7 hingga 21 tahun, Terengganu sememangnya membuktikan pembangunan bola sepak di negeri Terengganu berjaya menghasilkan pemain berkualiti.

“Buktinya, beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan bawah 19 tahun dan 21 tahun mereka sering berada dalam kedudukan tiga teratas bagi kedua- dua kejohanan peringkat umur itu.”

Ini merupakan kali kedua Yakult menjalinkan kerjasama strategik bersama pasukan Liga Malaysia selepas Kelantan United pada Disember lalu.

Yakult juga menaja Hadi Fayyadh Abdul Razak mendapat peluang beraksi di Liga Jepun.