Kelantan akan mengadakan majlis pelancaran jersi serta pengenalan barisan pemain dan jurulatih pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dengan mengadakan majlis tersebut di The Red Warriors Villa Abadi, Langkawi.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata pihaknya membuat keputusan itu kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.
“Majlis itu akan berlangsung secara tertutup pada 1 Feb depan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam memutuskan rantaian pandemik COVID-19,” katanya kepada Bernama.
“Pada masa yang sama, kita mahu memperkenalkan TRW Villa Abadi kepada pemain ke-12 (penyokong) pasukan Kelantan FC.
Norizam berkata TRW Villa Abadi adalah antara aset Kelantan FC dalam menjana pendapatan jangka panjang pasukan itu.
“Musim ini Kelantan FC akan tampil dengan tiga warna jersi iaitu warna merah akan terus menjadi pakaian ‘keramat’ pasukan dalam mengharungi saingan Liga-M nanti.
“Dua lagi warna tunggu pada majlis itu nanti…jersi tahun ini akan tampil dengan gaya yang lebih segar.”
Katanya lagi, jersi pasukan akan dijual pada harga mampu milik.