Liga Super Malaysia Berita

Azmeer Yusof bersara dari dunia bola sepak

Azmeer Yusof membuat keputusan untuk bersara terus dari dunia bola sepak.

Ini selepas pemain pertahanan berusia 30 tahun itu meninggalkan Kedah pada Jun lalu.

Beliau ketika itu bercadang untuk berehat seketika, namun kali ini beliau mengubah fikirannya.

“Saya Azmeer Yusof ingin mengumumkan dengan secara rasminya bersara dari bola sepak profesional,” katanya ketika mengadakan siaran langsung di akaun Facebook miliknya.

“Untuk peminat di luar sana, saya berharap semua dapat terima dengan keputusan saya ini dan saya minta maaf sangat sangat kerana tak dapat meneruskan apa yang kalian doa dan harapkan untuk saya teruskan dalam bola sepak.

“Separuh umur saya membabitkan diri dalam arena bola sepak tempatan dan saya rasa inilah masa yang sesuai untuk saya berundur dari bidang bola sepak ke bidang keusahawan dan kebajikan Islam dan memang impian saya nak bersara selepas saya menyertai Kedah dan impian itu kini tercapai.

“Sebahagian hidup saya habiskan masa dengan bola sepak dan kini saya mahu meneruskan haluan baharu demi cita-cita yang saya pendamkan selama ini dan saya nekad untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam perniagaan dan kebajikan melalui Pusat Pengajian Azmeer Yusof ini.”

Azmeer juga meluahkan rasa terkilannya kerana tidak pernah terpilih untuk mewakili negara.

“Antara perkara belum saya capai adalah mewakili negara kerana itu adalah impian saya sejak kecil dan saya memiliki minit permainan yang melebihi sesetengah pemain yang terpilih namun, saya anggap itu sebagai tiada rezeki.

“Pada pendapat saya, bab pemilihan pemain untuk mewakili negara ini sewajarnya dipilih berdasarkan minit permainan seseorang pemain itu dan ini perlu diutamakan dan diambilkira sebelum pertimbangan lain oleh jurulatih.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak, penyokong yang telah memberi semangat selama saya beraksi sebagai pemain dan saya juga berharap mereka mendoakan kejayaan saya seterusnya dalam bidang keusahawan dan terus menyokong apa yang saya ceburi ini.

Azmeer memulakan karier bola sepak profesional pada 2008 dan pernah mewakili Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan, ATM FA, dan yang terakhir.

Beliau meninggalkan dunia bola sepak dengan memenangi Piala Malaysia bersama Kedah pada 2016 dan Piala FA pada 2019 serta membantu pasukan Kuala Lumpur memenangi Liga Premier pada musim 2017.