Liga Super Malaysia Berita

Kedah jawab kontroversi logo baharu

CEO Kedah FC, Khamal Idris Ali tampil menjawab beberapa isu mengenai logo baharu yang diperkenalkan semalam.

Ini selepas Kedah membuat keputusan untuk memilih logo bukan dari kalangan finalis dalam pertandingan ciptaan logo, sebaliknya memilih logo yang menyerupai logo yang pernah digunakan oleh pasukan itu sejak 1988.

“KDA FC mengambil maklum mengenai pertandingan ciptaan logo yang dianjurkan oleh KFA. Sebagai anak syarikat KFA, KDA FC amat menghargai inisiatif tersebut apatah lagi ia melibatkan penyertaan ratusan rekaan daripada peminat sukan bola sepak khususnya dari negeri Kedah.

“KDA FC juga mengambil maklum mengenai hasrat murni pihak penaja untuk memberi tajaan hadiah kepada pemenang tempat pertama pertandingan tersebut. Hasrat penaja tersebut sangat disanjungi dan wajar diteruskan.

“Perlu dinyatakan bahawa keputusan pemilihan oleh jawatankuasa pemilih serta undi secara atas talian yang telah dibuat oleh KFA adalah merupakan satu pungutan suara untuk rujukan pihak KDA FC dalam menentukan logo. KDA FC selaku pemilik mutlak logo berhak untuk membuat pindaan logo pemenang mengikut kesesuaian imej bola sepak Kedah.

“Perkara ini telah dinyatakan oleh pihak KFA di dalam terma dan syarat pertandingan. Sehubungan itu, KDA FC mengambil keputusan untuk membuat pindaan logo pemenang pertandingan, setelah membuat penilaian
yang lebih khusus.”

Khamal bagaimanapun berkata, pihaknya akan tetap memberikan hadiah kemenangan kepada pemenang pertandingan logo tersebut.

“Walau bagaimanapun, bagi menghormati dan meraikan kreativiti serta penat lelah pereka logo yang dipilih oleh jawatankuasa pemilih dan undian secara atas talian, KDA FC berpandangan pemenang tersebut wajar diberi hadiah seperti hasrat pihak penaja pertandingan berkenaan.

“Dalam masa yang sama, pereka logo yang telah dipilih sebagai logo rasmi juga akan turut menerima hadiah daripada pihak KDA FC.”

Khamal juga menafikan dakwaan bahawa pemilihan logo baharu itu dibuat oleh individu tertentu menerusi satu rakaman audio yang tular di media sosial mengaitkan nama beberapa individu.

“Ingin dipertegaskan bahawa rakaman audio tersebut adalah berbaur fitnah untuk menimbulkan prasangka buruk terhadap pihak tertentu.

“KDA FC mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih terutamanya kepada para peminat sukan bola sepak atas keprihatinan, sumbangan dan sokongan yang diberikan.”