Liga Super Malaysia Berita

Jurulatih baru Selangor bukan Fink, tetapi Karsten Neitzel?

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon menafikan bahawa Selangor berminat untuk mendapatkan jurulatih dari Jerman, Thorsten Fink untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Malah, beliau berkata Fink tidak pernah ada dalam senarai pendek FAS.

“FAS menafikan khabar angin itu,” katanya kepada Harian Metro.

“Malah, individu yang dinyatakan itu pun tiada dalam senarai kami.”

Bagaimanapun Astro Arena melaporkan jurulatih dari Jerman yang berada dalam radar Selangor sebenarnya adalah Karsten Neitzel.

Neitzel yang berasal dari Dresden, Jerman pernah menjadi jurulatih di Freiburg dan VfL Bochum.

Beliau dilaporkan sudah tiba di Malaysia dan telah menyertai sesi latihan skuad Gergasi Merah itu selepas menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Malah, beliau dilaporkan sempat menonton perlawanan Selangor menentang Melaka United dalam Piala Malaysia minggu lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Michael Feichtenbeiner, enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Saya tidak boleh memberikan komen mengenai perkhabaran ini,” katanya kepada Astro Arena.

“Kami akan membuat pengumuman mengenai ketua jurulatih baru itu tidak lama lagi, jadi sila bersabar dahulu.

“Peminat kami mungkin akan gembira dan berbangga dengan pasukan baru kami nanti.”

Dalam satu laporan Reviersport.de, Neitzel mendedahkan beliau sudah menandatangani kontrak dua tahun bersama sebuah kelab dari luar negara.

Laporan itu juga berkata, sejak bulan Jun lagi Neitzel berminat untuk kembali berkhidmat di Asia setelah pernah menjadi penolong jurulatih di kelab Jepun, Urawa Reds pada 2009.

“Saya mengambil peluang untuk menerima tawaran besar dari luar negara. Saya sudah tandatangan dua tahun untuk kontrak yang akan berkuatkuasa pada 1 Disember 2020.

“Ini sahaja yang saya boleh kata: Saya akan ke luar negara. Kelab itu akan perkenalkan saya di pertengahan bulan Oktober.

“Saya akan hormatinya dan tidak akan mendedahkan nama kelab sehinggalah pengumuman dibuat.”

Selangor juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan penyerang Perak, Shahrel Fikri dan pemain tengah Pahang, Nik Sharif Haseefy.