Majlis Undian Piala Malaysia bagi edisi 2020 akhirnya selesai untuk Pusingan 16 Terbaik.
Nampaknya undian memihak kepada JDT yang akan bertemu pasukan Liga Premier, Kuching.
Jika JDT menang, pasukan dari Selatan Malaysia itu akan bertemu satu lagi pasukan Liga Premier, Kuala Lumpur yang mendapat Bye selepas Sabah tidak dapat bertanding kerana tidak dibenarkan terbang ke Semenanjung susulan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri itu.
Malah, jika JDT berada di peringkat separuh akhir, pasukan itu akan bertemu sama ada pasukan Pulau Pinang, Felda United, UiTM FC atau Kelantan.
Justeru, JDT dijangka tidak berdepan masalah untuk layak ke pusingan akhir Piala Malaysia.
Tidak mustahil juga untuk JDT memenangi trofi Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut, setelah memenanginya tahun lalu apabila menewaskan Kedah 3-0 pada perlawanan akhir.
Bagaimanapun, pasukan seperti Terengganu, Perak, Selangor dan Pahang yang benar-benar mahu layak ke Piala AFC 2021 pula berdepan undian maut.
Ini apabila Terengganu diundi bertemu PJ City, Perak berdepan Kelantan United dengan satu lagi kelompok iaitu Kedah akan menentang Pahang dan Selangor akan bertemu Melaka.
Jika Terengganu menang, pasukan itu terpaksa bertemu Perak dan jika Pahang menang, mereka terpaksa bertemu antara Selangor atau Melaka.
Jelas bahawa pasukan-pasukan yang mempunyai kualiti yang lebih kurang sama dan agak setanding akan bertembung satu sama lain.
Namun ini menjadikan Piala Malaysia lebih menarik tahun ini.