Penasihat Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB), Shaizuwan Kamaruzaman terkilan dengan keputusan Kedah FA baru-baru ini.
Ini selepas Kedah FA membuat keputusan bahawa 80 peratus pemegang saham pasukan adalah milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI).
Shaizuwan berkata, perkara itu bertentangan dengan hasrat KAKB untuk memiliki 51 peratus pemilikan saham pasukan dengan tawaran sebanyak RM15 juta.
Malah, beliau mendakwa Kedah FA masih belum menghubungi KAKB bagi menjelaskan rasional di sebalik keputusan itu.
“Saya dan ahli lembaga koperasi menganggap ini adalah daripada FA kepada FA bukan FC seperti yang dianjurkan FAM,” katanya kepada Astro Arena.
“Sebab MBI dipengerusikan oleh menteri besar dan presiden KFA juga adalah menteri besar juga.
“Jadi saya tidak nampak penswastaan itu akan berlaku.
“Peralihan FA kepada FC tidak akan berlaku.”
Perkembangan itu mungkin membantutkan usaha pasukan Kedah untuk menstabilkan kewangan tanpa bantuan kerajaan negeri, malah merencatkan usaha FAM dan MFL untuk melengkapkan proses penswastaan pada tahun ini.