AFC Champions League bagi Zon Timur akan disambung semula di Doha, Qatar pada 18 Nov hingga 13 Disember 2020.
Ia setelah persetujuan dicapai antara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA).
Ini bermakna, JDT perlu terbang ke Qatar untuk menyambung saingan ACL sebaik sahaja melengkapkan saingan Piala Malaysia 2020 yang dijadualkan bermula pada 25 Oktober.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John berkata Doha, Qatar menjadi pilihan AFC selepas kejayaan Qatar menganjurkan ACL Zon Barat.
“Kami sangat berterima kasih atas sokongan luar biasa dari QFA dan gembira bahawa kami sekarang dapat meneruskan kesinambungan daripada kejayaan menganjurkan ACL Zon Barat.
“Kami menyedari segala usaha keras yang dilakukan oleh QFA, bersama dengan AFC, Pihak Berkuasa Tempatan dan Kementerian Qatar, untuk memastikan kelancaran ACL Zon Barat dan kami mengharapkan perkara sama untuk ACL Zon Timur.
“Dari isu ketibaan pasukan, proses laluan imigresen yang efisien, pemeriksaan kesihatan yang ketat, hotel dengan langkah-langkah keselamatan tinggi, hingga kemudahan latihan dan stadium yang canggih adalah standard tinggi yang diperlukan ketika ini kerana kebajikan dan kesejahteraan pemain, pegawai dan pegawai perlawanan adalah keutamaan kami.
“Melalui perancangan dan penyampaian protokol yang sangat ketat dan berkesan ini, kami gembira dapat melengkapkan kejohanan ACL walaupun menghadapi cabaran getir dalam tahun yang belum pernah terjadi dalam sejarah.”
ACL Zon Timur akan disambung semula dari peringkat kumpulan dan berterusan hingga ke pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir.
Final ACL adalah pada 19 Disember 2020.
Setakat ini, JDT mengumpul 3 mata dalam Kumpulan G selepas dua perlawanan.