Liga Super Malaysia Berita

Koperasi Anak Kedah kenal pasti penaja baru Kedah musim depan

Penasihat Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB), Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman mengesahkan bahawa pihaknya sudah mengenal pasti individu yang akan menaja pasukan Kedah bermula musim depan.

Ini selepas mereka menyatakan hasrat untuk memiliki saham sebanyak 51 peratus dalam pasukan Kedah, sekali gus menjadi pemilik pasukan itu.

Kata Shaizuan, soal pemilikan itu akan terus dibincangkan menerusi perjumpaan kali keempat bersama Persatuan Bola Sepak Kedah minggu ini.

“Pertemuan sebanyak tiga kali sebelum ini menampakkan reaksi yang positif termasuk perjumpaan dengan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor,” katanya kepada Sinar Harian.

“Ramai yang tidak tahu bahawa koperasi ini mampu membuka pemilikan pasukan kepada peminat. Koperasi juga telah mengenalpasti individu dan syarikat yang akan bertindak sebagai penaja kepada pasukan Kedah.

“Sejumlah 98 peratus individu bersetuju dengan usaha ini dan mereka menyatakan minat untuk sama-sama miliki saham di dalam pasukan berkenaan.”

Justeru, Shaizuan berharap Kedah FA dapat mempertimbangkan tawaran Koperasi Anak Kedah demi masa depan bolasepak negeri itu.

“Kita mahu semua pihak tahu bahawa usaha itu merupakan satu anjakan baru dalam membantu pasukan melonjak ke arah lebih memberangsangkan, selain membantu skuad berada pada kedudukan yang stabil.”

Kedah berjaya menyelesaikan proses penswastaan kelab dan memperoleh lesen kebangsaan dan lesen AFC.

Namun, ia masih tertakluk kepada usaha Kedah untuk menyelesaikan tunggakan gaji empat bulan iaitu April, Mei, Jun dan Julai, dengan FAM memberi masa sehingga 31 Oktober.

Kedah juga perlu mengemukakan carta organisasi FA dan FC serta CV setiap individu yang terlibat dalam pengurusan pasukan sebelum 30 Nov.