Liga Super Malaysia Berita

Shahrel Fikri mahu Perak layak ke Piala AFC

Penyerang Perak, Shahrel Fikri Fauzi tetap dengan fokus utama untuk membantu pasukan layak beraksi ke Piala AFC 2021 terlebih dahulu sambil menyifatkan Anugerah Kasut Emas adalah bonus sekiranya dia berjaya kekal selaku penjaring terbanyak CIMB Liga Super 2020.

Shahrel ketika ini mengungguli carta penjaring terbanyak dengan 9 gol selepas berjaya meledak empat gol ketika menentang Felda United FC, Jumaat lalu sekali gus membantu Perak untuk menduduki tangga kedua liga.

Sememangnya impian untuk memenangi Anugerah Kasut Emas sudah lama terpendam namun penyerang berusia 26 tahun ini lebih mengutamakan pasukannya terlebih dahulu apabila hanya berbaki dua perlawanan sahaja lagi untuk mengesahkan Perak layak ke Piala AFC 2021.

Ini kerana, skuad kendalian Mehmet Durakovic ini hanya berkelebihan satu mata dengan Kedah yang kini di tangga ketiga liga dan sudah pasti, Shahrel enggan terlalu tamak mengejar jaringan sehingga membelakangkan kejayaan pasukan.

“Sememangnya ini adalah pencapaian membanggakan untuk saya kerana sebelum ini kalau kita tengok, selalunya pemain import yang mendominasi penjaring terbanyak, tetapi sekarang saya berjaya buktikan pemain tempatan juga mampu untuk berada di tahap ini.

“Kalau boleh memang saya nak tambah lagi gol untuk dua lagi perlawanan, tetapi macam-macam boleh jadi dan saya tidak mahu tamak untuk mengejar gol sebaliknya misi utama adalah untuk pastikan Perak menang.

“Dengan 9 gol sekarang, tidak jauh beza dengan penjaring lain seperti Tchetche Kipre (Kedah) dan lain-lain yang kini mengumpul 7 dan 6 gol, dan mereka juga pasti akan turut sama melakukan yang terbaik untuk prestasi masing-masing.

“Apa-apa pun, slot ke Piala AFC tetap diutamakan dan mahu atau tidak, kami kena menang dalam baki dua perlawanan ini,”katanya.

Shahrel satu-satunya pemain tempatan yang berada dalam kelompok penjaring terbanyak diikuti Kipre, Dominique Da Sylva (Terengganu FC) dan Ifedayo Omosuyi (Selangor) dengan tujuh gol manakala Gonzalo Cabrera (Johor Darul Ta’zim) telah menjaringkan enam gol.

Bakal berdepan Pahang dan Kedah dalam dua perlawanan terakhir liga, bekas pemain Nakhon Ratchasima FC ini menyifatkan ia akan menjadi perlawanan yang cukup sengit terutamanya Kedah yang sudah pasti enggan melepaskan peluang merebut kedudukan kedua terbaik, musim ini.

Namun, Shahrel melihat semangat rakan sepasukan kini cukup baik dengan tiga kemenangan berturut-turut khususnya selepas mereka dimalukan dengan kekalahan besar 7-0 kepada JDT, bulan lalu.

“Saya tengok tahap keyakinan kami semua semakin tinggi dan selepas kalah besar dengan JDT tempoh hari, kami bangkit untuk menang dalam tiga perlawanan berturut-turut.

“Yang penting, kami tidak boleh leka dan perlu ingat, Pahang dan Kedah juga mesti tidak akan memberi laluan mudah kepada Perak kerana mereka juga enggan ketinggalan untuk menamatkan liga di kedudukan terbaik terutamanya Kedah.

“Saya percaya kami semua akan dapat kekalkan momentum yang ada ini selepas berdepan pelbagai cabaran daripada awal musim sehingga kini,” tambahnya.