Liga Super Malaysia Berita

Pulau Pinang akhirnya beraksi di Liga Super musim 2021

Pulau Pinang sah akan beraksi di Liga Super musim depan dengan berbaki tiga perlawanan.

Kali terakhir pasukan utara Malaysia itu beraksi di Liga Super adalah pada musim 2017.

Ini selepas Negeri Sembilan hanya mampu seri 0-0 menentang Perak II manakala UKM FC hanya seri 2-2 berdepan Terengganu FC II serta Kelantan yang tewas 0-2 kepada Kuching FA.

Jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira memberikan penghargaan kepada pihak pengurusan dan para pemainnya yang membantu pasukan layak ke Liga Super.

“Saya amat bangga dengan pencapaian ini,” katanya kepada Bernama.

“Tetapi kredit harus diberikan kepada semua pemain termasuk pihak pengurusan dan kerajaan negeri yang sentiasa memberi sokongan.”

Namun Manzoor menyasarkan untuk menjuarai Liga Premier musim ini.

“Untuk baki perlawanan nanti, kami akan cuba berikan aksi yang terbaik dan menghadiahkan satu lagi kejayaan iaitu muncul juara Liga Premier musim ini.

“Lagipun, Pulau Pinang belum pernah bergelar juara Liga Premier dan ini adalah kesempatan terbaik untuk berbuat demikian.”

Pulau Pinang mengutip 20 mata daripada lapan perlawanan, diikuti pasukan Kuala Lumpur 17 mata di tangga kedua, JDT II dengan 14 mata, Terengganu FC II 13 mata manakala Kelantan dengan 11 mata.

Ia satu kejayaan manis buat Pulau Pinang, selepas berjaya layak ke Liga Super musim lepas namun ditolak enam mata oleh FAM atas arahan FIFA kerana gagal melunaskan tunggakan gaji bekas pemain import, Reinaldo Lobo.