Juara bertahan Ligue 1 Paris Saint Germain dikejutkan dengan kekalahan di gelanggang sendiri apabila tewas 1-0 kepada Olympique Marseille di Parc des Princes.
Florian Thauvin menjaringkan satu-satunya gol pada minit ke-31, tetapi itu bukanlah perkara paling menarik dalam perlawanan itu.
Pengadil perlawanan, Jerome Brisard berdepan dengan sikap agresif pemain dari kedua-dua belah pasukan sehingga terpaksa melayangkan 4 kad kuning kepada pemain PSG dan 6 kad kuning kepada pemain OM.
Pada minit terakhir dalam enam minit waktu kecederaan, kedua-dua belah pasukan akhirnya sudah hilang sabar apabila mula bertumbuk dan menendang satu sama lain, memaksa pengadil membuat keputusan drastik.
Neymar, Laywin Kurzawa dan Leandro Paredes dari PSG dikenakan kad merah sementara dua kad merah lagi dilayangkan kepada Dario Benedetto dan Jordan Amavi dari Marseille.
Walaupun berlaku insiden yang tidak diingini, jurulatih Marseille Andre Villas-Boas boleh berbangga kerana berjaya meraikan kemenangan liga pertama menentang PSG sejak November 2011.
“Kemenangan yang sukar dan penting dan juga bersejarah,” kata Villas-Boas kepada wartawan.
“Kami berjuang untuk mengatasi tekanan awal PSG kerana mereka sangat bagus, tetapi kami menemui cara untuk mendapatkan kemenangan hebat. Ia tidak cantik dan kami menderita.”
Bagi PSG, ia adalah kekalahan kedua berturut-turut setelah tewas 1-0 kepada Lens.
Pengarah sukan PSG, Leonardo tampil mengkritik cara pengadil mengendalikan perlawanan.
“Sebanyak 14 kad dilayangkan dan lima daripadanya berwarna merah, ini bermaksud perlawanan tidak terkawal.
“(Brisard) Gagal kawal perlawanan. Dia merasmikan final Piala Liga tetapi dia tidak mempunyai pengalaman untuk perlawanan seperti ini. “