Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang tampil menafikan dakwaan bahawa pihaknya masih belum melunaskan tunggakan gaji Francis Forkey Doe.
Ini selepas pemain Liberia itu dilaporkan masih belum menerima tunggakan gaji bagi musim 2018 berjumlah RM746,500.
Namun, Suffian berkata tidak ada lagi isu tunggakan gaji kerana sudah mendapat persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak lebih awal, ekoran kecederaan jangka panjang yang dialami Forkey Doe.
“Atas persetujuan bersama antara PBNP dan Forkey Doe, kontrak ditamatkan lebih awal dan turut diberikan pampasan,” katanya kepada Harian Metro.
“Sebagai tanda prihatin dan ihsan, Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah turut memberikan kemudahan tempat tinggal dan sebuah kereta sepanjang tempoh rawatan.
“Walaupun kontrak sudah berakhir PBNP, masih prihatin dengan kecederaan yang dialami Forkey Doe.
“Oleh itu tidak timbul berlaku tunggakan gaji kerana segalanya sudah dipersetujui kedua-dua pihak.”
Isu tunggakan gaji Forkey Doe timbul selepas terdapat spekulasi bahawa Pahang belum membayar gaji pemain pada tempoh yang ditetapkan sepanjang Liga Malaysia ditangguhkan sebelum ini.
Malah, isu tunggakan gaji juga dikaitkan dengan tindakan Mohamadou Sumareh menamatkan kontraknya, yang dijadikan alasan buat pemain naturalisasi itu untuk meninggalkan Pahang sebelum saingan Liga Malaysia berakhir musim ini.