Liga Super Malaysia Berita

Hanya fikir pasal Portugal? Ini pandangan Safawi Rasid

Safawi Rasid enggan terlalu memikirkan mengenai penghijrahannya, sebaliknya hanya mahu meningkatkan prestasinya dengan JDT dalam saingan Liga Super ketika ini.

Ini selepas JDT mengesahkan bahawa Safawi bakal berhijrah ke kelab Portugal, Portimonense SC selepas tamat saingan liga.

“Setakat ini saya tak fikir lagi untuk pergi ke kelab Portugal,” katanya kepada Harian Metro.

“Kalau boleh saya nak fokus kepada JDT dan Liga Super dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Selepas itu saya fikir yang terbaik untuk kerjaya saya sebagai pemain.”

Namun bagi pemain berusia 23 tahun, beliau masih belum berpuas hati dengan prestasinya, selepas hanya masuk di separuh masa kedua ketika JDT menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.

“Saya cuba yang terbaik selepas lama tidak beraksi.

“Saya menerima segala keputusan jurulatih untuk meletakkan saya dalam kesebelasan utama atau simpanan. Sebagai pemain saya sudah melakukan yang terbaik terutama pada sesi latihan.”