La Liga Berita

Dahulu beraksi dalam Champions League, kini Malaga tiada pasukan

Siapa sangka pasukan sehebat Malaga CF satu masa dahulu, kini tidak lagi mempunyai pemain utama dalam pasukannya.

Apabila kelab Sepanyol itu diambil alih oleh Abdullah Nasser Al-Thani pada 2010, Malaga dianggap bakal merosakkan dominasi Real Madrid dan Barcelona.

Ini bermula dengan pembelian pemain-pemain ternama seperti Ruud van Nistelrooy, Jeremy Toulalan, Santi Cazorla, Joaquin, Isco dan Nacho Monreal.

Dengan revolusi itu, Malaga hanya memerlukan tempoh dua tahun untuk layak ke UEFA Champions League buat pertama kali dalam sejarah, malah berjaya mara sehingga ke suku akhir.

Namun, musim berikutnya Malaga dilarang bertanding dalam mana-mana kejohanan UEFA kerana masalah hutang.

Tidak lama selepas itu, seorang demi seorang pemain meninggalkan Malaga, termasuk Isco yang berhijrah ke Real Madrid, Toulalan ke Monaco dan Joaquin ke Fiorentina.

Sejak dihukum UEFA, Malaga mengalami kemerosotan prestasi setiap musim sehingga akhirnya tersingkir ke liga divisyen kedua pada tahun 2018 dan kedudukan mereka kekal dalam liga itu sehingga ke hari ini.

Namun, sebaik sahaja berakhir musim 2020 dengan menduduki tangga ke-14, Malaga membuat kejutan apabila melepaskan semua pemain dari pasukan utama.

“Kelab terpaksa membuat keputusan sukar sejak beberapa bulan ini,” kata Malaga dalam kenyataan.

“Ketika ini, penstrukturan akan memberi kesan langsung kepada pasukan utama.

“Penstrukturan baharu ini adalah sebahagian daripada perancangan ekonomi yang bertujuan untuk menyelamatkan kelab keluar daripada krisis kewangan yang dilihat terus berlaku walaupun sudah mengambil beberapa inisiatif.

“Malaga bertanggungjawab membuat keputusan ini demi kelangsungan kelab dan berharap semua peminat dan pemegang tiket bermusim memahami dan menyokong inisiatif baharu ini, dengan objektif utama adalah untuk membina satu pasukan yang kompetitif, bagi mengembalikan semula keterujaan untuk menyokong Malaga.”

Walaupun kenyataan itu tidak menyatakan berapa ramai pemain akan meninggalkan pasukan, suratkhabar terkemuka Sepanyol, Marca melaporkan sekurang-kurangnya 10 pemain utama akan dilepaskan.

Malah, Malaga dilaporkan hanya boleh mengekalkan pemain yang bersetuju untuk mengambil pemotongan gaji sehingga 80 peratus.

Pemilik kelab, Al Thani sendiri dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan termasuk salah guna kuasa dan wang kelab, dengan pentadbiran kelab diambil alih oleh pentadbir bebas buat sementara waktu.

Hanya kerana wang gagal dibelanjakan dan diuruskan dengan baik, yang menjadi mangsa adalah kelab Malaga, para pemain dan peminatnya.