Liga Super Malaysia Berita

Koperasi Anak Kedah mahu miliki saham 51 peratus dalam pasukan Kedah

Koperasi Anak Kedah Berhad mahu memiliki saham sebanyak 51 peratus dalam pemilikan pasukan Kedah bagi melengkapkan proses penswastaan kelab dan pemisahan FA ke FC pada musim 2021.

Cadangan itu dibuat berdasarkan mekanisme pemilikan kelab yang digunapakai oleh kelab-kelab Eropah seperti di Bundesliga dan La Liga.

“Kelab-kelab terkemuka dunia seperti FC Barcelona dan Real Madrid telah pun mengamalkan sistem saham yang turut dimiliki oleh penyokong-penyokongnya sejak dahulu lagi,” menurut kenyataan.

“Justeru, Koperasi Anak Kedah mencadangkan untuk memiliki saham sebanyak 51 peratus dalam pasukan Lang Merah.”

Kenyataan itu dibuat selepas badan koperasi itu mengadakan pertemuan dengan Presiden Kedah FA, Sanusi Md Nor pada 9 Ogos lalu.

“Tujuan perjumpaan tersebut adalah bagi menyatakan hasrat Koperasi Anak Kedah Berhad untuk menjadi rakan kongsi kepada kerajaan negeri dalam pengurusan bola sepak Kedah bermula saingan Liga Malaysia 2021.

“Menteri Besar Kedah amat positif dengan cadangan tersebut dan mengarahkan pertemuan susulan diadakan untuk membincangkan dengan lebih terperinci untuk merealisasikan hasrat menjadikan Kedah pasukan pertama di negara ini dimiliki sahamnya oleh penyokong setia Hijau Kuning.

“Koperasi Anak Kedah Berhad amat komited untuk merealisasikannya dan telah menghantar surat bertarikh 17 Ogos 2020 kepada Menteri Besar untuk menetapkan tarikh pertemuan susulan selepas ini.”