Liga Super Malaysia Berita

Sabah sudah mula proses penswastaan kelab, tapi…

FAM mendedahkan Sabah sebenarnya sudah memulakan proses penswastaan kelab dan pemisahan dari persatuan kepada kelab.

Ini selepas terdapat desas-desus yang mengatakan Sabah FA masih tidak memulakan sebarang proses penswastaan kelab.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam bagaimanapun menafikan spekulasi tersebut.

“Sabah bukan sebahagian daripada tiga pasukan Liga Malaysia yang belum memulakan proses penswastaan. Kalau saya beritahu nama tiga pasukan itu, ada yang terkejut nanti,” katanya ketika ditemu bual media baru-baru ini.

“Sabah pada dasarnya sudah bergerak, cuma ada situasi domestik. Disebabkan itu berlaku kelewatan dan mereka mungkin memerlukan tandatangan yang mereka pun tak tahu boleh dapat ke tidak.”

Stuart mungkin merujuk kepada situasi politik Sabah, selepas barisan kabinet kerajaan negeri itu dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan dalam masa terdekat, sekali gus melambatkan proses penswastaan pasukan yang perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada 30 Sept ini.

Walaupun begitu, Stuart memberi jaminan bahawa pihaknya akan membantu Sabah melengkapkan proses penswastaan.

“FAM akan terus memantau dan kita ada unit yang berhubung rapat dengan Sabah FA, kita akan pastikan mereka menepati kriteria yang diperlukan.

“Sebab itulah, kita menasihatkan supaya kelab bolasepak profesional dipisahkan daripada persatuan, baru ada perubahan. Kelab tidak seharusnya terkesan dengan apa yang berlaku dalam persatuan.”

Sabah akan menyambung saingan Liga Super menentang Terengganu pada Khamis, 27 Ogos di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.