![](https://football-tribe.com/malaysia/wp-content/uploads/sites/13/2020/08/klfa-800x534.jpg)
Nampaknya Kuala Lumpur FA memberikan komitmen tinggi untuk melengkapkan proses penswastaan dan pemisahan pasukan sebelum 30 September ini.
Ini memandangkan hanya pasukan yang sudah melengkapkan proses itu yang dibenarkan menyertai pertandingan peringkat AFC, Liga Super dan Liga Perdana musim depan.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa mendedahkan pihaknya berancang untuk menswastakan pasukan kendaliannya yang akan beroperasi sebagai Kuala Lumpur United.
Malah, KLFA juga berancang untuk melepaskan pegangan saham dalam tempoh dua tahun, dan akan mencari rakan kongsi yang berminat untuk melabur ke dalam pasukan.
“Saya ada bertanya kepada bahagian ‘Club Licensing’ FAM dan katanya boleh tunggu sampai dua tahun,” kata Nokman kepada Harian Metro.
“Selepas dua tahun kita kena lepaskan pegangan saham dalam pasukan.
“Buat masa ini, KLFA masih boleh pegang lagi sebagai pemegang penuh sebab kita pun bila nak buat syarikat kena tengok siapa pihak yang sanggup nak masuk buat masa ini. Lainlah kalau ia boleh buat duit, saya ingat tak ada masalah.
“Jadi kita jalan dulu, lepas itu perlahan-lahan kita cari lima atau enam rakan kongsi, itulah perancangan KLFA.”
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Azlin Nadzri mendedahkan bahawa pengurusan tertinggi PAFA akan membentangkan pelan penswastaan pasukan pada kongres PAFA pada minggu depan.
“Takkan kita nak biarkan pasukan Perak bermain di Liga Amatur, sudah tentu kita juga sedang berusaha ke arah menswastakan pasukan.
“Saya yakin kita akan dapat selesaikan sebelum tarikh akhir dan saya harap FAM bersabar kerana masih ada dua bulan lagi.”