Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menganggap penyokong bolasepak, barisan jurulatih, para pemain profesional dan amatur serta seluruh pihak yang berkhidmat dalam industri bolasepak perlu menguatkan semangat untuk melalui norma baharu pada masa-masa akan datang.
Ini selepas Liga Malaysia akhirnya dibenarkan bersambung pada 26 Ogos, malah semua pasukan sudah dibenarkan mengadakan sesi latihan.
Pengusaha-pengusaha padang bolasepak turut menarik nafas lega apabila dibenarkan beroperasi semula, memberikan peluang kepada peminat-peminat untuk turun padang dan menikmati permainan bolasepak setelah sekian lama akibat wabak COVID-19.
“Industri bola sepak khususnya Asia akan berdepan beberapa cabaran utama yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini terutama dalam menjamin keselamatan dan kesihatan 47 negara Asia demi kelangsungan sukan ini,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC secara maya.
“Anjakan kehidupan ke arah normal baharu sememangnya perlu kita lalui, mahu atau tidak demi keselamatan serta kesihatan semua juga kelangsungan industri bola sepak dalam menempuh cabaran yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini.”
Hamidin yang juga ahli jawatankuasa eksekutif AFC bagi penggal 2019-2023 berkata mesyuarat yang diadakan penting untuk mencapai kata sepakat dalam hala tuju bola sepak Asia dan persiapan menjelang Piala Asia 2023 yang tertangguh sebelum ini akibat COVID-19 dan dijangka bermula semula Oktober ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa turut membincangkan mengenai pentadbiran, kewangan dan perundangan AFC.
“Susulan pandemik COVID-19, AFC memberi sokongan penuh kepada ahli gabungan terutamanya negara-negara yang terjejas teruk dari sudut kewangan menerusi kempen tanggungjawab sosial yang mampu menaikkan semangat negara yang terkesan terutama masyarakat.
“Situasi ini adalah sesuatu di luar jangkaan yang mana semua pihak perlu memikul tanggungjawab bersama serta paling penting muafakat dan saling menyokong antara satu sama lain dalam membendung krisis ini bersama.”
Dalam pada itu, Kongress AFC Ke-30 turut ditunda kepada tarikh baharu pada 9 Disember 2020 dan akan diadakan secara maya.