Liga Super Malaysia Berita

MFL: Hanya Kelantan FA dan Sarawak United belum dibenarkan berlatih

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan hanya dua pasukan sahaja yang masih belum dibenarkan berlatih iaitu Kelantan FA dan Sarawak United.

Ini bermakna, kedua-dua pasukan itu tidak mengadakan latihan selama lebih sebulan, meskipun kerajaan sudah membenarkan untuk mengadakan latihan tanpa sentuhan pada 15 Jun lalu.

“Setakat ini, status dua pasukan iaitu Kelantan dan Sarawak United belum diluluskan. Permohanan dua lagi pasukan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan UKM FC pula diluluskan selepas mereka melengkapkan dokumen yang dikehendaki,” katanya kepada Sinar Harian.

Ghani berkata, Kelantan dan Sarawak United tidak mempunyai alasan untuk melambat-lambatkan proses permohonan kerana mereka sudah diberikan masa yang cukup banyak untuk melakukannya.

“Pihak MFL telah mengingatkan kepada setiap pengurusan pasukan untuk melengkapkan dokumen sebelum menjalani sesi latihan Fasa 1 dan Fasa 2.

“Kini kami sudah muktamadkan tarikh rasmi liga yang akan disambung semula pada 26 Ogos nanti. Jadi, kami tak mahu dengar lagi sebarang alasan.”

Sarawak United dilaporkan telah melengkapkan ujian calitan (swab test), namun masih belum mendapat pengesahan daripada doktor perubatan pasukan, malah belum mengesahkan venue latihan berdaftar serta menyerahkan nama pegawai penyelaras.

Kelantan pula masih di peringkat ujian calitan (swab test) dan perlu mendapatkan pengesahan daripada doktor perubatan.