Liga Premier Malaysia Berita

Yusri Che Lah sakit kepala, Kelantan masih belum bersedia

Jurulatih Kelantan FA, Yusri Che Lah mengakui bimbang pasukannya masih belum melakukan sebarang latihan dan persediaan untuk kembali bersaing dalam Liga Perdana.

Kelantan antara pasukan yang masih belum dibenarkan menjalani latihan kerana masih belum melengkapkan proses yang diperlukan, meskipun kerajaan sudah membenarkan mengadakan latihan tanpa kontak pada 15 Jun dan latihan bersentuhan pada 15 Julai.

Lebih bimbang apabila MFL membenarkan liga untuk disambung semula pada 26 Ogos, namun Kelantan perlu bermula lebih awal apabila terpaksa mengharungi perlawanan tertunda menentang UKM FC pada 22 Ogos.

Yusri memahami kelewatan Kelantan melakukan sebarang persiapan adalah disebabkan masalah kewangan pasukan, namun beliau mengharapkan ada jalan penyelesaian yang segera.

“Seperti semua tahu, kami masih belum memulakan latihan,” katanya kepada Sinar Harian.

“Saya dimaklumkan pengurusan baharu sudah menghantar permohonan kepada MFL untuk memulakan latihan. Tetapi, saya tidak pasti sama ada MFL dapat meluluskannya dengan segera atau tidak.

“Lagi sakit kepala. Saya faham situasi yang berlaku kepada KAFA ketika ini, tetapi saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada KAFA iaitu menyegerakan untuk memanggil para pemain kembali menjalani latihan.

“Kalau dibenarkan mungkin hari Isnin iaitu 20 Julai ini dan saya betul-betul hanya ada sebulan untuk mempersiapkan pasukan. Itu belum ditolak dengan cuti Hari Raya Aidiladha dan cuti mingguan. Saya lihat ia sebagai tempoh yang getir kepada saya kerana tempoh itu sangat padat.

“Saya juga tidak tahu status semasa barisan pemain Kelantan dari segi kecederaan, kecergasan dan sebagainya. Ia tambah merumitkan keadaan buat masa ini.

Yusri juga mengakui perlu melakukan beberapa penambahan pemain kepada pasukannya, selepas pemain import pertahanan, Kang Seung-jo meninggalkan Kelantan untuk menyertai kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC.

“Kang Seung-Jo telah menarik diri daripada pasukan dan saya dikhabarkan ada seorang lagi pemain tempatan yang menjadi pemain kesebelasan utama pasukan telah menarik diri.

“Ia satu lagi senario yang merisaukan saya kerana kami mendaftarkan 23 pemain. Jadi jika tolak dua pemain, hanya tinggal 21 pemain. Nasib baik kerana kami boleh menambah pemain Piala Presiden sebanyak tiga orang dalam pasukan.

“Ia mencukupi bagi saya tetapi agak terhad kerana perlawanan yang akan berlangsung selama sebulan itu kemungkinan sangat padat dan akan menyebabkan kecederaan kepada pemain.

Bagaimanapun, Yusri enggan mengaku kalah begitu sahaja.

“Saya harap mereka bersedia walaupun saya tahu sukar untuk mengharungi detik sebegini. Kita tetap perlukan berikan yang terbaik kerana ini juga masa depan kita. Jika pemain dapat berikan yang terbaik, tidak mustahil musim depan ada pasukan lain yang akan menyambar khidmat mereka.”