Liga Super Malaysia Berita

Uzbekistan isytihar darurat, Kejohanan AFC B-19 bakal ditunda?

Kejohanan AFC B-19 berdepan risiko penangguhan selepas tuan rumahnya, Uzbekistan mengisytiharkan darurat bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Tempoh darurat itu berakhir pada 1 Ogos tetapi kerajaan Uzbekistan berkemungkinan akan melanjutkan tempoh tersebut jika keadaan masih belum pulih.

Bagaimanapun, jurulatih B-19 negara, Brad Maloney tidak begitu bimbang dengan perkembangan terbaru itu, dan hanya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kem latihan pusat ketika ini.

“Perkara ini diluar kawalan kita, kita hanya boleh tunggu dan lihat,” katanya kepada NST.

“Kita tidak akan ubah sebarang perancangan. Kita hanya fokus lakukan persiapan untuk kejohanan.”

Dalam pada itu, Maloney gembira kerajaan memberi kebenaran untuk mengadakan latihan bersentuhan bermula 15 Julai.

“Ini satu berita baik. Kami boleh adakan perlawanan latihan antara para pemain.”