Salah sebuah kelab penyokong bolasepak Kelantan FA, The Red Warrior KLIA (TRWC KLIA) mendesak presiden dan timbalan presiden KAFA, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Datuk Seri Afandi Hamzah supaya meletak jawatan serta-merta.
Presiden TRWC KLIA, Rozaki Ab Kadir menganggap tindakan ‘merehatkan diri’ daripada menguruskan KAFA tidak membantu kepada krisis kewangan yang dihadapi badan bolasepak negeri itu ketika ini.
“Berehat… bermakna jawatan itu akan tergantung dan menyukarkan pengurusan KAFA untuk melantik presiden dan timbalan presiden yang baharu,” katanya kepada Bernama.
Rozaki juga berpandangan, peletakan jawatan perlu dibuat bagi memudahkan KAFA merancang hal tuju Kelantan FA dan pada saingan Liga Malaysia.
Desakan itu dibuat selepas Datuk Shaari Mat Husin dilantik sebagai pemangku presiden KAFA dan ditugaskan untuk menyelesaikan masalah kewangan pasukan Kelantan.
Ketika ini, Kelantan FA berhadapan dengan tiga kes FIFA dan beberapa kes tunggakan gaji pemain melibatkan bekas pemain termasuk bekas kapten, Badhri Radzi dan Amiridzwan Taj.
Selepas ahli perniagaan, Bibi Ramjani Ilias Khan meletak jawatan sebagai presiden pada pertengahan tahun lalu, KAFA kembali dikendalikan oleh ahli-ahli politik.
Wan Abdul Rahim yang sebelum ini dilantik sebagai Presiden KAFA merupakan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu dan kini merupakan Presiden Amanah Kelantan. Beliau menewaskan ahli perniagaan, Datuk Amril Aiman Ab Aziz pada pemilihan lalu.
Shaari pula merupakan bekas ADUN Gual Periok dan merupakan bekas timbalan ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang.
Namun pentadbiran KAFA dalam kalangan ahli politik dilihat masih belum menampakkan tanda-tanda positif, terutamanya selepas After Image Sdn Bhd bertindak menarik diri daripada menjadi penaja utama dan menguruskan The Red Warriors Sdn Bhd yang mengendalikan pasukan Kelantan.
Disebabkan itu, Kelantan masih gagal menyelesaikan hutang yang dipercayai melebihi RM5 juta.
Bagaimanapun, Kelantan terlepas daripada pemotongan mata meskipun gagal menyelesaikan tunggakan gaji pada 30 April dan 30 Jun, dengan FAM melanjutkan tempoh bayaran sehingga 31 Ogos, dengan alasan ketiadaan sumber pendapatan akibat wabak COVID-19 dan penangguhan saingan Liga Malaysia.