Luqman Hakim Shamsudin berharap peminat bolasepak dapat terus memberikan sokongan kepada dirinya selepas hampir pasti akan menyertai kelab KV Belgium, KV Kortrijk tidak lama lagi.
Ini selepas Selangor mencapai persetujuan untuk melepaskan pemain berusia 18 tahun itu.
Luqman turut memberikan penghargaan kepada Selangor yang membantu dirinya sepanjang tempoh PKP.
“Saya akan berhijrah ke KV Kortrijk dalam masa terdekat, jadi saya minta doa daripada semua untuk saya berjaya mengharungi tahap seterusnya dalam karier saya,” katanya dalam satu sesi bual bicara menerusi laman Facebook Selangor FA.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Selangor, pihak atasan, staf dan semua jurulatih serta pemain. Saya cukup gembira sepanjang berada di sini. Saya bersyukur dan bangga dapat bermain bersama Selangor.”
Pada masa sama, Luqman berjanji akan mengambil peluang sepenuhnya beraksi di luar negara dan menimba pengalaman sebanyak yang mungkin bagi membantu skuad kebangsaan satu hari nanti.
“Apa yang berlaku di sana saya kena hadapi dan cuba bertahan kerana itu memang impian saya untuk bermain di luar negara. Kalau boleh saya nak dapatkan banyak pengalaman dan belajar lebih banyak perkara di sana.”