Skuad B-19 negara mencipta sejarah apabila menyenaraikan dua pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Wan Kuzri Wan Kamal dan Adam Nadzmi Zamri untuk menyertai kem latihan pusat menjelang Kejohanan AFC B-19.
Wan Kuzri merupakan pemain kelab Amerika Syarikat, St. Louis manakala Adam beraksi dengan BISP Cruzeiro Football Academy, akademi bolasepak Brazil yang berpusat di Phuket, Thailand.
Dua pemain berkenaan akan menyertai 33 pemain lagi untuk kem latihan pertama yang bermula Isnin ini.
Namun beberapa tonggak utama dalam saingan kelayakan tahun lalu tidak dipanggil untuk kem latihan pertama ini seperti penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Azrin Afiq Rusmini, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Luqman Hakim Shamsudin dan Ahmad Zikri Mohd Khalili, yang mana mereka dijangka menyertai pasukan pada kem latihan pusat berikutnya.
Pengurus pasukan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, rata-rata pemain yang menyertai kem latihan pertama ini adalah mereka yang tidak mempunyai komitmen dengan pasukan masing-masing selepas Piala Belia dan Piala Presiden musim 2020 dibatalkan.
Beliau bagaimanapun menegaskan Luqman akan menyertai skuad B-19 meskipun masih belum membuat pengumuman mengenai status perpindahannya ke Eropah.
“Luqman dan beberapa pemain tonggak B-19 lain tidak mempunyai masalah menyertai kem latihan nanti kerana mereka sekarang ini terikat dengan pasukan masing-masing,” katanya kepada Harian Metro.
“Pada masa sama, Luqman juga tidak mempunyai masalah atau halangan untuk menyertai latihan dan kita akan melihatnya nanti.”
Skuad B-19 berjaya layak dalam kalangan 16 pasukan terbaik ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 apabila meraih slot selaku juara saingan kelayakan bagi Kumpulan G selepas menewaskan Thailand 1-0 pada perlawanan terakhir di Phnom Penh, Kemboja pada 10 November 2019.
Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2014 iaitu Qatar, Tajikistan dan Yemen.
Kumpulan D
Malaysia lawan Tajikistan, Jumaat, 16 Oktober 2020
Malaysia lawan Qatar Isnin, 19 Oktober 2020
Malaysia lawan Yemen Khamis, 22 Oktober 2020
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir dan jika Malaysia berjaya muncul juara Kumpulan D, lawan adalah naib juara Kumpulan C (Arab Saudi, Australia, Vietnam atau Laos) dan jika Malaysia naib juara Kumpulan D, lawan adalah juara Kumpulan C (Arab Saudi, Australia, Vietnam atau Laos).
Empat pasukan yang berjaya melangkah ke separuh akhir akan secara automatik layak ke Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia.
Namun jika Indonesia menjadi salah satu pasukan yang ke separuh akhir, maka satu lagi slot tambahan akan diberikan yang mana ia akan direbut oleh empat pasukan yang kalah pada suku akhir menerusi perlawanan playoff.
Pada edisi terdahulu iaitu Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Indonesia, Malaysia yang ketika itu dibimbing Bojan Hodak turut diundi dalam Kumpulan D, namun gagal melangkah ke suku akhir selepas tewas 2-1 kepada Arab Saudi, seri 2-2 dengan Tajikistan dan kalah 2-0 kepada China untuk menduduki tangga terakhir kumpulan.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia sejak Kejuaraan B-19 AFC ini dimulakan pada tahun 1959 (dengan nama Kejuaraan Remaja AFC) adalah dengan muncul naib juara sebanyak tiga kali pada 1959, 1960 dan 1968 serta meraih tempat ketiga sebanyak dua kali pada 1964 dan 1965.
Pencapaian terakhir terbaik dilakukan pasukan Malaysia ialah pada edisi 2004 yang mana ketika itu Malaysia kendalian K Rajagobal (kini bergelar Datuk) selaku tuan rumah berjaya mara ke suku akhir sebelum tersingkir selepas tewas 3-0 kepada China.